kepentingan KREATIVITI

1.2 Kepentingan Kreativiti

• Pendidikan seni visual dianggap sebagai mata pelajaran sampingan oleh sesetengah ibu bapa. Pandangan negatif ini sebenarnya adalah disebabkan oleh pemahaman cetek daripada sumber rujukan dan maklumat yang tidak tetap terhadap kepentingan mata Pelajaran Seni Visual. Kepentingan pendidikan seni adalah lebih penting dalam merealisasikan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna sepertimana kepentingan mata pelajaran lain. Seni sebenarnya sudah lama memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan. Namun, kepentingan itu tidak disedari. Sama ada disedari atau tidak, Pendidikan Seni Visual sudah disemai kepada semua generasi sejak dari awal kanak-kanak lagi sehingga ke peringkat dewasa. Seni bukan saja mengajar manusia menghayati keindahan, kecantikan atau sebagainya tetapi memupuk nilai-nilai estetika dan nilai-nilai kemuliaan dalam diri manusia. Seni harus dilihat sebagai subjek yang mampu ‘mengubati’ permasalahan yang berlaku dalam jiwa manusia. 
• Seni memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia dan perubahan masyarakat. Seni wajar diletakkan pada landasan yang betul dalam arena pembangunan manusiawi. Kefahaman yang cetek yang mengatakan seni tidak menjanjikan kerjaya yang baik perlu dikikis. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada kita sedari atau tidak sebenarnya telah kita meletakkan seni di tempat yang sewajarnya. Pendidikan seni itu sebenarnya telah bermula lebih awal lagi, iaitu di zaman kanak-kanak. Pendidikan yang diberikan itu berlaku secara tidak lansung dan tanpa disedari. Contohnya, ibu bapa telah mendidik anak-anak mereka mengenal alat-alat permainan. Mereka menunjukkan bentuk-bentuk permainan kepada kanak-kanak. Pada alatan permainan tadi, terdapat pelbagai warna dan bereneka jenis rupa bentuknya. Apabila melihatnya, kanak-kanak itu akan meluahkan rasa hatinya. Apakah warna yang disukainya. Jenis-jenis permainan serta apa yang disayanginya. Selain gemar kepada barangan permainan, kanak-kanak juga suka menconteng. Apa sahaja yang boleh digunakan atau yang difikirkan sesuai, akan digunakan untuk menconteng. Kesempatan itu digunakan untuk melahirkan ideanya. 


• Antara peranan Seni Visual dalam pendidikan pertama ialah memupuk kreativiti kanak-kanak. Sifat semula jadi bagi seseorang kanak-kanak ialah memerlukan perhatian, belaian, sentuhan dan sebagainya. Tanpa kita sedari perkembangan seni tampak minda kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali. Sebelum meningkat remaja, kanak-kanak mengalami tiga tahap perkembangan seni tampak. Peringkat manipulatif sekitar umur 2 hingga 5 tahun. Peringkat melakar simbol-simbol berumur 5 hingga 9 tahun dan peringkat pra-remaja iaitu sekitar umur 10 tahun hingga 13 tahun. Berdasarkan kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak. Perbezaan mungkin timbul ialah berdasarkan factor persekitaran, bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan. Melalui proses membentuk kreativiti dari diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik. (Laura Chapman, 1978)


• Peranan kedua memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Apabila mencapai umur remaja sekitar 10 hingga 15 tahun, tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar itu sudah mulai menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Pada peringkat ini, sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang. Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965) pada peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting. Pelajar akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses membesar mereka. Persaingan di kalangan pelajar berlaku peringkat ini. Pelajar yang lemah akan mengalami masalah yang dinyatakan tadi. Sekiranya dibimbing dan diberi penerangan yang betul, kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkabur. Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif. Mereka akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan subjek seni itu.


• Ketiga ialah melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita amat memerlukan ramai tenaga professional. Jurutera, arkitek, doktor, saintis dan penguam merupakan bidang kerjaya yang amat diperlukan oleh negara. Akibat kekurangan itu, kita terpaksa mengimport dari luar negara. Dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar yang memilih bidang ini boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru. Menjadi seniman sepenuh masa contohnya. Walaupun negara kita masih baru dalam bidang ini, namun telah terdapat ramai artis yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion sepenuh masa. 
• Keempat peranan seni visual dengan cara memupuk dan mendidik sifat kecintaan pada seni dan estetika. Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni ini perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Pada hari ini melalui sebuah agensi kerajaan, kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan. Antaranya program Tahun Melawat Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Selain daripada itu, ada pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong. Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiatkan lagi. Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh. Terutama sekali ialah kesan penghayatan masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan itu. 
• Kelima memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat. Masyarakat kita memang kaya dengan khazanah warisan budaya. Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita. Pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan atau tekstil, hamparan tikar mengkuang atau pandan, anyaman kelarai, seni binaan rumah kayu atau kampung dan seterus seni budaya sopan santun dan adat istiadat. Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hamper dilupakan. Tidak banyak lagi generasi hari ini yang mengamalkan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut kedatangan tetamu. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan itu. Seni itu wajar dipertahankan daripada hilang terus atau mengalami kepupusan. Terdapat banyak contoh yang boleh dijadikan rujukan. Seni kraftangan umpamanya seperti seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelerai. Seni tekat, tembikar dan banyak lagi contoh yang bileh diketengahkan. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini. 


• Peranan keenam ialah melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri. Budaya menunjukkan bangsa. Kata-kata ini jelas kepada kita bahawa sesebuah masyarakat itu mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Mengekalkan kebudayaan mereka supaya ia dikenali dan dihormati bukanlah satu tugas yang mudah. Kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya. Ada yang berpendapat, mengenali sesuatu bangsa itu lebih mudah dari mengenali budayanya. Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha untuk mengekalkan seni, budaya dan warisannya. Kita mestilah meletakkan tanggungjawab di bahu masyarakat akan kepentingan nilai seni dan estetika. Kefahaman dan tanggungjawab ini perlu dipupuk di peringkat awal lagi. Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang paling wajar. Peranan murid, guru atau pendidik, pensyarah, dan pihak kementerian pendidikan amat penting untuk merealisasikan perkara ini. Justeru, selain apa yang disebutkan tadi, semua masyarakat juga boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan kea rah cita-cita yang murni ini. 

1.3 Tahap Perkembangan Kreativiti


• Berikut adalah antara beberapa pendapat yang menyatakan tentang tahap perkembangan kreativiti dalam proses kreativiti atau artistik. Pendapat pertama adalah dari PETER Mc KELLAR (1967) menyatakan tahap perkembangan kreativiti sebagai peringkat iaitu persediaan, pengeraman, penjelasan, penentuan dan pencernaan. Pendapat seterusnya, dari VIKTOR LOWENFELD (1969) menyatakannya sebagai tahap-tahap perlakuan dan tindakan, iaitu kepekaan, kelancaran, keanjalan, memberi makna dan pengertian baru, analisis, sintesis, kejelasan dan ketekalan mengorganisasi. Pendapat seterusnya, dari POINCAR (1970) ianya menjelaskan peringkat-peringkat berikut sebagai proses kreativiti iaitu mengenalpasti, penjelasan, tidak pasti, pandang timbang dan rasionalisasi dan pendapat dari LAURA H. CHAPMAN iaitu menyatakan dalam bukunya berjudul Approaches to Art in Education, suatu kajian tentang teori-teori peringkat penghasilan kerja dan tahap kreativiti, menjelaskan bahawa proses artistik adalah merupakan fasa-fasa tidak semestinya sentiasa bersifat tekal dan sekuens. Buku ini menjelaskan bahawa tahap perkembangan kreativiti dan artistik dibahagikan kepada tiga fasa yang utama, iaitu perwujudan idea, perkembangan dan penghalusan idea dan kemahiran media. 

1.4 Ciri-ciri kreativiti dalam Pendidikan Seni Visual 


• Seseorang artis atau tukang dikatakan sebagai insan yang mempunyai daya kreatif, imaginatif dan nilai estetik yang tinggi. Pendidikan Seni bukan bertujuan untuk melahirkan ramai artis tetapi melatih dan mendidik pelajar agar dapat membentuk sahsiah yang positif dengan memiliki sifat-sifat kreatif seperti mana yang terdapat pada seseorang artis yang unggul.


• Seseorang artis yang unggul memiliki sifat-sifat yang berikut :


SIFAT-SIFAT ARTIS HURAIAN


Mereka mempunyai ciri-ciri :
1. Daya persepsi tinggi Mereka peka, berkeupayaan dan gemar kepada :
 Melihat kekuatan nilai dan makna pada objek dan alam.
 Mendengar “bunyi kehidupan” di keliling mereka.
 Sedar tentang apa yang dirasa dan disentuh.
 Peka kepada bau yang dihidu.


2. Daya membina idea sendiri  Memberi “nafas baru” dan kesinambungan terhadap perkara silam atau isu lama.
 Membina, mencipta, dan menghasilkan sesuatu.
 Mencuba gaya atau teknik baru.
 Memanipulasi idea dengan pelbagai cara, secara tidak lazim atau berlainan dari biasa perlakuan.
 Mencuba dan meneroka pelbagai pendekatan dan bahan.
 Menyelesaikan masalah dengan cara tersendiri.
 Berimaginasi tinggi- melangkaui batas pemikiran biasa.


3. Suka mencuba, meneroka dan mencari sesuatu yang baru  Menggunakan cara-cara baru dan inventif menghubung idea dan imej.
 Mengimpikan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan baru yang berlainan dari kebiasaan.
 Berimaginasi dan berdaya mewatakan sesuatu.
 Berfikiran tulen dan asli (originality).


4. Suka mengkaji dan menyelidik  Dapat memberi makna dan pengertian terhadap sesuatu ciptaan.
 Menganalisa data maklumat tentang apa yang dialami.
 Bertanya dan mencari penjelasan.
 Mencari penemuan baru mengenai hubungan antara idea dan bahan.


5. Peka terhadap nilai estetik  Tertarik terhadap nilai keindahan, kecantikan, keunikan, kelainan, dan keharmonian pada objek, alam dan kehidupan.
 Dapat merasakan nilai rentak, irama dan harmoni terhadap apa yang dilihat dan dihasilkan.


6. Keyakinan diri  Menggunakan pendekatan yang fleksibel mengikut situasi dan keperluan.
 Berdikari.
 Mempunyai kekuatan perasaan dan emosi serta dapat membuat penyataan diri.

1.5 Proses meningkatkan kesedaran 


• Bagi meningkatkan kesedaran, pelajar-pelajar boleh dilatih dan dibimbing dengan pelbagai cara. Melalui aktiviti Pendidikan Seni, kesedaran boleh ditingkatkan melalui latihan persepsi estetik, iaitu :


1. Interaksi Estetik (kajian visual)
 Pengalaman Tampak (deria)
 Pengalaman Aktif Secara Langsung 
 Pengalaman Empati

2. Pendidikan Asas Senireka
 Unsur Seni
 Prinsip Rekaan
 Struktur Rekaan

3. Proses Kreativiti/Artistik


INTERAKSI ESTETIK


• Pengalaman Tampak (Deria)  Melalui latihan pengalaman tampak, seseorang akan dilatih menggunakan deria secara terperinci.


 Kesedaran dapat dipertingkatkan melalui pengalaman deria yang melakukan aktiviti penyelidikan, penerokaan, percubaan dan pemerhatian terhadap sesuatu.
 Aktiviti-aktiviti tersebut haruslah mengandungi tujuan-tujuan berikut agar aktiviti yang dijalankan benar-benar berkesan terhadap perkembangan dan peningkatan kesedaran. Iaitu meningkatkan :


o Daya melihat dan mengamati
o Daya mengigati dengan jelas tentang pengalaman tampak yang dilalui dan kesannya terhadap perasaan, pemikiran dan tanggapan.
 Menurut Laird, daya mengingati dan menghubungkan antara pengalaman dengan perasaan, pemikiran, dan tanggapan, boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Iaitu pelajar perlu :
o Mengambil bahagian aktif melibatkan fizikal, pergerakan tindakan langsung seperti bergerak ke sesuatu tempat untuk mendapatkan maklumat. Tindakan fizikal tersebut akan memperkukuhkan ingatan.
o Mengaitkan pengalaman baru dengan pengalaman yang sedia ada atau masa lampau. 
 Galakkan pelajar meneroka, mengkaji, dan menemui pelbagai fenomena sebanyak mungkin secara sendiri. Guru hanya perlu membantu menentukan struktur dan kandungan penemuan yang telah diperolehi pelajar.
 Mendapat pengalaman secara langsung dengan menggunakan objek atau fenomena yang sebenar. Elakkan menggunakan gambaran atau penjelasan yang abstrak.
 Berlatih mengingati perkara-perkara mengenai seseorang atau objek yang ditemui. Adakan tindakan-tindakan seperti :
o Cari kaedah bagi mengingati nama orang atau objek tersebut. Kaitkan dengan sesuatu yang lain agar mudah diingati.
o Tumpuan kepada ciri spesifik tentang rupa muka orang tersebut seperti mata, gigi, hidung, bulu kening, jalinan kulit dan warna kulitnya (bagi objek yang boleh dilihat dari segi warna, bentuk, jalinan, dan sebagainya.)
o Lihat dan catatkan ciri-ciri keunikan orang / objek tersebut.
 Tumpuan/konsentrasi sangat perlu bagi mendapatkan aras pencapaian kesedaran yang tinggi. Ia boleh dilakukan dengan latihan seperti :
o Melakukan aktiviti tidak lazim
Contoh : melihat gambar yang terbalik. Melukis gambar belakang kepala bukan muka seperti kelaziman dilakukan.
 Bagi mendapatkan kesedaran dan pengalaman-pengalaman seperti yang dinyatakan, guru boleh menyediakan borang senarai semak untuk diambil tindakan oleh pelajar selepas mereka melakukan aktiviti penerokaan, kajian atau pemerhatian.
 Galakan pelajar merakamkan setiap pengalaman deria tersebut melalui lakaran, lukisan, fotografi, himpunan/koleksi buku skrap, dan penulisan.

• Pengalaman Aktif Secara Langsung  Melalui latihan membuat atau menghasilkan sesuatu.
 Kesedaran dapat diperkembangkan melalui pengalaman membuat atau menghasilkan sesuatu seperti membuat catan, cetakan, anyaman, ukiran, dan pelbagaiaktiviti gerakerja kreatif.
 Pelajar perlu disedarkan dengan pemeringkatan proses dan teknik semasa melakukan kerja tersebut. Proses dan teknik dapat meningkatkan kesedaran secara langsung.
 Kajian-kajian tentang asas seni reka pada alam dan persekitaran untuk digunakan dan diaplikasikan dalam gerakerja yang dilakukan.
 Galakan pelajar melakukan aktiviti membuat kajian-kajian mengenai tema, artis, melihat cara artis menghasilkan karya secara tindakan aktif seperti menemu bual artis, melihat artis bekerja dalam studio dan sebagainya, bagi mendapatkan pengalaman dan meningkatkan kesedaran.
 Wujudkan suasana yang lebih mencabar seperti aktiviti perbahasan, diskusi, perbincangan, dan kritikan tentang karya yang dilakukan.
 Adakan senarai semak untuk diambil tindakan oleh pelajar bagi mengesaningatan dan kesedaran semasa mereka melakukan aktiviti.

• Pengalaman Empati

 Melalui latihan yang banyak menyentuh perasaan, emosi, dan tekanan fizikal.
 Latiahan melalui aktiviti kembara visual ke tempat tertentu banyak menimbulkan kesan emosi dan fizikal.
• Sebaik-baik pelajar mengalami sendiri secara langsung mengenai susah payah kerja sebagai seorang petani ketika mereka cuba menggambarkan pemandangan di sawah padi atau potret seorang petani.
• Membuat pengamatan secara dekat dan langsung. Merasakan keterikan panas cahaya matahari yang membakar kulit kaum petani.
• Merasakan kesukaran atau kelainan antara melakukan aktiviti dalam studio berbanding aktiviti kembara di luar studio.
 Menggunakan angota yang tidak lazim digunakan untuk menghasilkan karya.
 Latihan-latihan sumpama itu dapat menimbulkan kesan kesedaran, keinsafan, dan pengalaman yang sangat bermakna kepada seseorang, dan dapat meningkatkat penghayatan.
 Sediakan senarai semak yang dapat menyatakan dan mengesan pengalaman pelajar ketika melakukan aktiviti tersebut.


2. PENDIDIKAN ASAS SENIREKA

 Unsur Seni
 Prinsip Rekaan
 Struktur Rekaan  Pendidikan Asas Senireka melalui persepsi dan pertinbangan estetik, boleh membantu pelajar ke arah kesedaran terhadap fenomena alam dan karya, menjurus kearah tujuan berikut perlu dilakukan :
o Menganalisa wujudnya asas senireka seperti unsur seni, prinsip seni, dan struktur rekaan dalam hasil karya seni dan di alam.
o Mengenal pasti kegunaan asas seni reka
o Mengenal pasti media dan proses seni
o Mengenal pasti artistik mood
o Mengambarkan ragam-ragam estetik
o Menganalisa persamaan dan kelainan estetik
o Membezakan gayaan artistik
o Mengenal pasti ragam artistik
3. PROSES KREATIVITI ATAU ARTISTIK  Menggunakan kemahiran proses kreativiti
 Mengaplikasikan unsur dan struktur rekaan.
 Membuat penyataan dalam pelbagai aktiviti seni,
Seperti :
o Karya 2D dan karya 3D
o Karya Kraf
o Karya Komunikasi
 Mempelbagaikan dan menggunakan karya dalam persekitaran.
 Mengenal pasti bidang kerjaya.

1.6 Kesimpulan
• Kesimpulannya semua pihak mempunyai perasaan cinta kepada seni dan warisannya. Menanamkan tanggungjawab untuk pemeliharaan dan penjagaannya terletak pada semua pihak. Harus juga disedari bahawa, usaha ini tidak akan berjaya sekiranya masaih ada pihak yang meletakkan kepentingan seni ini pada tempat yang sewajarnya. Semoga apa yang dibincangkan tadi dapat memberikan kesedaran bahawa seni dan pendidikan seni merupakan dua bidang yang berbeza. Seni begitu memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak boleh lagi dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tidak ada kepentingannya dalam dunia pendidikan. Sejarah telah membuktikan bahawa seni amat memainkan peranan dalam pembentukan ketamadunan manusia. Kita mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selain perkembangan teknologinya. Oleh itu, seni pastinya memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita hari ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Followers